Sunday, 1 April 2018

Karangan Autobiografi: Aku Sebuah Komputer


Aku sebuah komputer yang berjenama Asus. Aku berwarna hitam. Aku dilahirkan di sebuah kilang yang terletak di Kuala Lumpur. Aku diperbuat daripada campuran plastik, aluminium, kaca dan besi.

          Setelah disiapkan, aku dimasukkan ke dalam kotak yang besar. Aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah kedai komputer di Johor. Kami menaiki sebuah lori ke sana.

          Setibanya di kedai itu, pekerja kedai itu mengangkat aku dengan berhati-hati. Aku dan kawan-kawanku dipamerkan di atas sebuah meja. Di situ, aku berkenalan dengan kawan-kawan baharu seperti Acer, Dell, Lenovo, Samsung dan sebagainya. Seorang pekerja meletakkan tanda harga pada badanku.

          Pada suatu hari, seorang lelaki yang segak lagi tampan datang ke kedai itu. Dia mahu membeli sebuah komputer. Dia pun melihat-lihat komputer yang ada di sana. Dia menjadi rambang mata apabila melihat komputer-komputer di situ. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk membeli aku. Dia membeli aku dengan harga yang berpatutan. Selepas membuat pembayaran di kaunter, dia membawa aku pulang ke rumahnya.

          Sampai di rumah, lelaki itu menghadiahkan aku kepada anaknya kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tuan baharu aku bernama Lee. Dia seorang murid yang rajin dan bertanggungjawab.

Lee selalu menggunakan aku untuk menyiapkan segala tugasannya. Dia juga menggunakan aku untuk melayari Internet bagi mencari maklumat yang berguna. Lee sangat cermat ketika menggunakan aku. Selepas menggunakan aku, dia akan menutup badanku dengan sehelai kain. Dia juga membersihkan badanku dengan sehelai kain.

Aku berasa sangat bertuah kerana mempunyai tuan seperti Lee. Aku berharap agar dapat terus berkhidmat kepadanya sehingga akhir hayatku.

No comments:

Post a Comment

TERBARU

Tatabahasa (Kata Ganti Nama Diri)